“Orang Kristian menyembah tiga tuhan!!” Tuduhan yang palsu lagi tidak munasabah ini sering kali ditujukan kepada orang Kristian oleh mereka yang kurang meneliti pengajaran Hazrat Isa al-Masih tentang ‘Ketuhanan’ yang sebenarnya. Sesungguhnya sumber dakwaan ini boleh dikesan dari Al-Quran sendiri. Di bawah adalah beberapa petikan nas-nas khusus tentang tuduhan ini:
Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Sesungguhnya
Allah ialah Al-Masih anak Maryam. Katakanlah (ya Muhammad): Siapakah
yang akan mempertahankan dari (azab) Allah, jika Ia hendak membinasakan
Al-Masih, anak Maryam dan ibunya serta orang-orang di muka bumi
semuanya? (5 Al-Maa-Idah ayat 17)
Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Sesungguhnya
Alla, (Tuhan) yang ketiga dari tiga. Padahal tak adalah Tuhan, kecuali
Tuhan yang Esa. (5 Al-Maa-Idah ayat 73)
Ingatlah ketika Allah berfirman: Ya Isa anak Maryam, adakah engkau
katakan kepada manusia: Ambillah aku dan ibuku menjadi Tuhan, selain
dari pada Allah. Ia menjawab: Mahasuci Engkau (ya Allah). Tak pantas
bagiku, bahawa kukatakan sesuatu, yang bukan hakku. Jika kukatakan
demikian, tentu Engkau mengetahuinya. (5 Al-Maa-Idah ayat 116)
Dari ayat-ayat di atas, kita dapati bahawa Muhammad telah berpendapat
bahawa orang Kristian menyembah Maryam, Isa dan Allah sebagai tiga
tuhan yang berasingan. Melalui kajian buku-buku agama yang diragui
kebenarannya (“Injil-injil” palsu) yang wujud di tanah Arab pada masa
Nabi Muhammad, telah disahkan bahawa beliau sememangnya ada melihat
penyembahan Maryam dan Isa dan telah mendengar mereka yang
kurang-pendidikan berkata “Allah itu Tiga”. Sedihnya, ini bukan
kepercayaan mahupun kesaksian pengikut-pengikut Isa Al-Masih yang
sebenar. Adalah tragis bahawa Muhammad tidak pernah berjumpa dengan
seorang Kristian ortodoks yang dapat memberi keterangan bernas kepadanya
tentang keesaan Allah, sambil memperkenalkan Dia sebagai Bapa, Anak dan
Roh Kudus.
Untuk orang Kristian yang hidup dalam masyarakat Islam, adalah sangat
penting untuk kita memiliki satu fahaman yang jelas tentang keesaan
Allah (dari Alkitab) yang dapat meyakinkan orang Islam bahawa kita
sememangnya menyembah satu Allah yang benar, tanpa menafikan Dia sebagai
Bapa, Anak dan Roh. Petikan-petikan di bawah mungkin dapat membantu:
Dengarlah hai orang Israel: TUHAN itu Allah kita, TUHAN itu esa! (Ulangan 6:4)
Jawab Isa kepadanya: “Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu
dan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu. Itulah hukum yang
terutama dan yang pertama. (Matius 22:37,38)
(Kata Isa Al-Masih) Aku dan Bapa adalah satu. Sekali lagi orang-orang
Yahudi mengambil batu untuk melempari Isa. Jawab orang-orang Yahudi
itu: Bukan kerana suatu pekejaan baik maka kami mahu melempari Engkau,
melainkan kerana Engkau menghujat Allah dan kerana Engkau, hanya seorang
manusia saja, menyamakan diriMu dengan Allah.” (Yohanes 10:30, 31, 33)
Isa mendekati mereka dan berkata: “KepadaKu telah diberikan segala
kuasa di syurga dan di bumi. Kerana itu pergilah, jadikanlah semua
bangsa muridKu dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh
Kudus. (Matius 28:8,19)
Senarai ayat-ayat di atas merangkumi beberapa ayat yang sukar dalam
Alkitab tentang Triniti (istilah khas yang membawa ungkapan kebenaran
identiti Allah sebagai Bapa, Anak dan Roh), dan juga beberapa ayat yang
secara langsung menyatakan Allah itu satu. Sememangnya ada hal-hal yang
hampir mustahil untuk difahami dan diterangkan tentang Allah: Bapa, Anak
dan Roh Kudus.
Didalam Kitab Injil pengikut-pengikut Isa al-Masih juga menyembah kepada hanya SATU Tuhan. Petikan berikut:
“Kamu percaya Allah itu hanya SATU. Bagus! Roh-roh jahat (iblis) pun percaya akan hal itu dan gementar…” (Yakob 2 ayat 19).
Menunjukkan bahawa umat Kristian dari permulaannya lagi telah
memegang teguh kepada ajaran Tauhid atau Keesaan Tuhan. Mereka tidak
berganjak daripada pegangan akidah mereka yang utama itu sehingga ke
hari ini!
Alkitab sendiri mungkin mengandungi jawapan kepada subjek yang agak rumit ini. Dalam Kejadian 1:26 dan 27 ada tertulis:
Berfirmanlah Allah: “Baiklah Kita menjadikan manusia, menurut gambar
dan rupa Kita . . . Maka Allah menciptakan manusia menurut gambarNya,
menurut gambar Allah diciptakanNya dia; laki-laki dan perempuan
diciptakanNya mereka.
Apakah mungkin dengan menganalisis diri kita sendiri (yang telah
diciptakan dalam imej Allah), kita mungkin menemukan kunci tentang sifat
Allah yang membingungkan ini? Saya fikir Ya. Doa berkat rasul Paulus
pada penghujung Suratnya yang pertama kepada orang Kristian di
Tesalonika boleh tolong menjelaskan :
Semoga Allah damai sejahtera menguduskan kamu seluruhnya dan semoga
roh, jiwa dan tubuhmu terpelihara sempurna dengan tak bercacat pada
kedatangan Isa Al-Masih. (1 Tesalonika 5:23)
Saya sebagai manusia adalah satu makhluk dengan satu roh, satu jiwa
dan satu tubuh; Diri saya bukan tiga, ‘saya’ hanya satu. Dengan cara
yang sama, Allah bagi umat Kristian adalah satu walaupun Dia telah
menyatakan diriNya kepada manusia sebagai Bapa, Anak dan Roh Kudus. Saya
bukanlah ‘saya’ tanpa roh, jiwa atau tubuh saya. Allah juga bukanlah
Allah jika pada masa yang sama Dia bukan Bapa, Anak dan Roh. Allah
adalah satu entiti yang tidak dapat dipisahkan. Bapa, Anak dan Roh Kudus
berfungsi sebagai SATU – satu tujuan, satu kehendak, satu takhta, satu
KerajaanNya dan satu Allah.
Berbagai andaian dan gambaran telah dicadangkan oleh orang Kristian
untuk menjelaskan penyataan Allah yang unik ini. Bermula dengan idea
bahawa sifat Allah adalah Kasih sayang, seorang Kristian terkenal telah
cuba menerangkan Allah sebagai satu tarian kasih – seorang kekasih,
seorang yang dikasihi dan kasih itu sendiri. Seorang penulis Kristian
pula membayangkan Allah sebagai seorang Pelukis – Bapa sebagai minda
pelukis, Anak sebagai penyataan kreativiti pelukis itu manakala Roh
adalah tenaga kreatif yang memenuhi dan sedia ada untuk penggunaan
pelukis itu. Adalah amat sesuai untuk menyatakan bahawa apabila
membincang tentang Allah sebagai Bapa, Anak dan Roh, tidak ada cara lain
untuk memahami serta menghayati Dia!
Apabila kita memerhatikan fahaman orang Kristian tentang Allah, kita
sedar bahawa ianya kena pada tempatnya. Mereka mengenal Allah sebagai
Bapa yang penyayang, Anak yang memahami dan rakan sesama manusia, dan
Roh yang memberi hidup, semuanya disatukan dalam satu kesatuan kasih
yang sempurna lagi indah. Allah hidup dalam RohNya, dinyatakan dalam
Kalimat yang Hidup (AnakNya), dan adalah Bapa bagi kita semua yang
menerima hakikat ini.
No comments:
Post a Comment